Baby Hello Kitty

Friday 25 May 2012

Penggunaan aspek visual dalam penulisan: Gambar



Penggunaan aspek visual dalam penulisan: Gambar
Penulisan merupakan salah satu medium atau platform terbaik bagi menyampaikan sesuatu maklumat.  Penulisan mampu menyemarakkan lagi budaya ilmu kepada masyarakat.  Hal ini kerana penulisan mampu menyuntik lapangan kefahaman yang pelbagai. Tidak kira apa jua fahaman atau ideologi.   Melalui penulisan kefahaman itu kekal dan di bawa dari satu zaman ke satu zaman yang lain bahkan bergenerasi.  Malahan, penulisan juga mampu menyumbang kepada  penjanaan idea-idea baru.  Melalui idea atau ilmu baru, ianya  diperlukan untuk  pembaharuan konsep, kefahaman, teori, teknik dan pelbagai lagi skop dalam pelbagai bidang. Penulisan menurut Awang Sariyan (1991)  iaitu merujuk kepada pengolahan gagasan atau pemikiran dan juga proses mekanis yang melibatkan penguasaan alat dan teknik untuk mengungkapkan gagasan dan pemikiran.  Definisi yang dimaksudkan bertepatan dengan tajuk tugasan iaitu penggunaan aspek visual dalam penulisan dan salah satunya penggunaan gambar.  Menurut Kamus Dewan edisi keempat 2005, h. 365 gambar disinonimkan dengan lukisan, foto, gambar foto, potret, rajah, lakaran.     Terkadang bahasa figuratif di dalam penulisan kreatif itu mampu menghasilkan daya tarikan tersendiri dengan membawa pembaca mencetus daya imaginasi namun tidak kurang juga dengan pengunaan ilustrasi atau gambar. 
Seperti sedia maklum, penggunaan gambar atau ilustrasi ini terangkum sebagai ciri-ciri dalam penulisan popular.  Penulisan dengan garapan atau nilai tambah aspek visual gambar ini mampu menarik minat para pembaca.  Menurut kamus dewan , halaman 1538 visual bermaksud bukan atau berdasarkan penglihatan, dapat dilihat dan teknik itu memberi kesan menarik, bentuk diutamakan, keistimewaan kesan yang menggunakan  teknologi yang semakin hari semakin baik.  Pada kebiasaan, gambar memainkan peranan penting dalam “menghidupkan” nilai penyampaian cerita  atau maklumat dalam sesebuah penulisan.  Tidak dapat dinafikan ada antara pembaca yang lebih mudah menghadamkan atau memahami input-input serius yang cuba disampaikan dalam penulisan panjang melalui penggunaan aspek visual gambar. 
Dalam sesebuah penulisan, gambar atau penggunaan ilustrasi mampu mangangkat meseg berguna berbanding dengan ratusan patah perkataan kerana penggunaan gambar atau imeg ini lebih cepat difahami isi-isi atau input dalam penulisan sekaligus menarik perhatian pembaca.  Apabila adanya kombinasi gambar di dalam sesebuah penulisan, maka bahagian kanan otak akan memproses ilustrasi atau gambar yang dipaparkan manakala  bahagian otak kiri pula akan memproses perkataan-perkataan, oleh itu, akan terhasilnya para pembaca yang diaktifkan penggunaan otaknya secara optimum dan mampu memantapkan lagi kefahaman, penghayatan meseg yang terkandung dalam sesebuah penulisan, baik panjang mahupun pendek. 
Salah satu contoh penulisan terbaik yang menyelitkan fokus penggunaan gambar ialah akhbar yang mana terangkum dalam contoh-contoh penulisan popular.  Julian Harris,Kelly Leiter dan Stanley Johnson( 1989:671)  mengemukakan beberapa panduan sebagai asas tarikan sesebuah akhbar.  Unsur tipografi (teknik percetakan) memainkan peranan penting dalam penghasilan akhbar yang baik.   Surat khabar yang mengandungi   kandungan berita yang tersusun, rekabentuk yang memaparkan beberapa cerita berbeza dalam ruang minimum, halaman surat khabar iaitu tiap-tiap baris mestilah berupaya berkomunikasi dengan pembaca dan menghasilkan maklumat dan unsur tipografi  gambar atau ilustrasi  yang baik.   Unsur gambar inilah yang membawa kepada keberkesanan penyampaian maklumat.  Tipografi moden merangkumi peletakan tajuk-tajuk besar di atas bahagian akhbar disokong oleh gambar.  Elemen peragaan seperti huruf, ilustrasi gambar (baik hitam putih atau berwarna) tajuk besar harus diletakkan pada ruangan yang bersesuaian dan teknik ini biasa digunakan bagi memaparkan cerita paling bernilai atau sensasi.  Gambar berwarna-warni dalam sesebuah penulisan merupakan kombinasi dan kesinambungan terbaik bagi menyampaikan meseg utama yang cuba disampaikan. 
Kesimpulannya, penggunaan aspek visual iaitu gambar dalam sesebuah penulisan merupakan salah satu teknik berkesan bagi mengetengahkan meseg atau maklumat yang ingin disampaikan dalam ribuan patah perkataan dalam sesebuah penulisan.  Penggunaan gambar merupakan nilai tambah terbaik dalam sesebuah karya penulisan.  Malah, bukan sahaja melalui penulisan, bahkan efektif dalam menyampaikan meseg ringkas seperti yang digunakan secara global.  Antaranya yang tertera pada papan-papan tanda, iklan, dan juga poster.  Gambar sahaja mampu membawa makna atau meseg yang cuba disampaikan dan dapat ditafsirkan sendiri oleh segenap lapisan  masyarakat.  Baik tua atau muda.  Malah, bukan itu sahaja, ia menjadi daya tarikan melalui gambar dan warna.  Namun, harus diingat, setiap manusia mempunyai titik buta (blindspot) tersendiri, disebabkan itu, terkadang sesuatu yang dilihat jelas oleh seseorang mungkin kabur dilihat oleh orang lain.  Sekalipun gambar mempercepat kefahaman input dalam sesebuah penulisan itu, tidak bermakna perkataan itu tidak membantu.  Sekalipun sudah ada rotan, itu tidak bermakna akar tidak berguna.  Penggunaan gambar dan aspek visual lain dapat dijadikan teknik berkesan dalam menyampaikan maklumat dan mempercepatkan proses kefahaman setiap pembaca.  Teknik visual (gambar) mampu menjadi sumbu yang menyalakan api kefahaman kepelbagaian maklumat dalam sesebuah penulisan. 


1 comment:

  1. kalau gambar berwarna lagiiii menarik perhatian pembaca :)

    ReplyDelete

Bobblehead Bunny Bobblehead Bunny