Baby Hello Kitty

Tuesday 20 March 2012

Indahnya memaknakan Ukhwah Persahabatan




            Sehingga hari ini, apabila ditanyakan mengenai makna persahabatan terlalu banyak jawapan sehingga kadang kala membuatkan kita telah lali mendengar jawapan itu tetapi sebenarnya nilai kepelbagaian jawapan inilah yang menerbitkan rasa indahnya sebuah persahabatan.  Kadang kala melalui pengalaman, pengetahuan pun sudah cukup dalam menilai makna sesebuah persahabatan itu.  Hubungan sosial yang melibatkan satu pihak dan pihakyang lain mahupun ramai.  Di dalam Islam sendiri amat menekankan konsep kasih saying sebagai asas tarbiah yang mewujudkan tautan ukhwah.  Kemanisan ukhwah dikecapi apabila bertemu dan berpisah kerana Allah. 


Persahabatan dalam konteks kehidupan  kini adalah sesuatu yang mudah diungkapkan namun sebenarnya sesuatu yang abstrak.  Tidak semestinya melalui analogi tersendiri, dinilai melalui perselisihan faham, ungkapan klise, suatu tindakan yang salah,pergaulan dan lain-lain dapat menganggap persahabatn itu sejati atau tidak.  Melalui pergaulan, sememangnya fitrah manusia dalam niat menjalinkan ukhwah bermula daripada hati yang terbit rasa ingin bertaut.  Seharusnya setiap individu meletakkan niat yang lurus dalam menjalin persahabatan iaitu menuju redha Illahi di samping berpegang kepada prinsip ‘simbiosis mutual’ (saling bergantung).  Rasulullah SAW mengumpamakan persahabatan seperti dua tangan yang bertaut,saling bersatu dalam mencapai matlamat dan tujuan.  Contoh terbaik dalam menyingkap kisah kaum Muhajirin dan Ansar yang saling berkongsi, membantu tanpa mengharapkan balasan duniawi semata-mata tetapi dilandasi dengan keikhlasan dalam menjalin ukhwah persahabatan. 




INDAHNYA UKHWAH BILA BERTEMU & BERPISAH KERANA ALLAH
Sebenarnya,reaksi,ucapan,tindakan amarah seharusnya tidak wujud dalam sebuah persahabatan.  Harga persahabatan tiada tergambar nilainya.  Terlalu Mahal.  Terlalu indah.  Nasihat menasihati  dalam persahabatan digalakkan dalam Islam.  Menegur bukan niat untuk menghukum, tetapi menarik semula daripada tergelincir daripada landasan kerana kasihnya seorang sahabat.   Sahabat yang baik itu cuba memimpin ke jalan yang terang andai mata yang mengekori itu kabur.   Teguran tidak perlu nyaring,  cukup didengar melalui telinga, dinilai melalui logic akal, meresap ke dalam hati.  Teringat satu ayat dalam buku bertajuk ‘Beduk Diketuk’ “ Orang yang bijaksana akan lebih terkesan oleh bisikan berbanding jeritan”.  Pelengkap kepada sebuah persahabatn yang bermakna andai terbuka dengan teguran, tidak terkesan dengan kejian. 

Rangkaian kisah dalam sebuah persahabatan  antara suka, duka, tangis, ketawa, sakit dan pujukan mampu menjadikan kita lebih baik daripada sebelumnya.  Lumrahnya persahabatan diselangi perselisihan.  Persahabatan mengambil masa untuk terjalin, apatah lagi berkekalan, namun andai bertahan ketika diuji, bertahan dan mampu untuk bertambah kukuh. 
Indahnya ukhwah persahabatan bila bertemu dan berpisah keran Allah.  Analoginya seperti Tasbih, ada awal, tiada penghujung,dicipta untuk mengingati-Nya. Menjalin persahabatan janganlah melalui zahir menilai apa yang dilihat tetapi fikirlah bagaimana kita melihat.  Sahabat, walaupun jauh, tetapi mekar mewangi.  Titipan doa mampu menjadi hadiah termahal dalam memaknakan sebuah persahabatan.  Pesan saidina Ali dalam persahabatan, selemah-lemah manusia adalah manusia yang tidak dapat mencari sahabat, dan orang yang lebih lemah ialah apabila mensia-siakan sahabat yang telah dicari.   Orang yang paling teguh hubunganya dengan Allah, dialah yang paling teguh hubungannya dengan manusia.  “Hablumminallah wa Hablumminannas”.  

Saturday 10 March 2012

Untukmu Ibu


Ibu
Di kejauhan bumi bawah bayu
Rinduku pada redup wajahmu
Pengubat duka tika lama tidak bertemu
Menghiburkan jiwa tika lara

Ibu
Lembut teguranmu tika ku alpa
Menguntai kata sambil berkisah
Menghulur semangat tika ku rebah
Memanjakanku dengan gurauanmu nan indah

Ibu
Ketika ku duka
Kau di sisi penuh pengertian
Ketika ku hampa
Kau ajari aku erti kekuatan
Ketika ku terlanjur kata
Kau menegur penuh kesabaran
Ketika diterpa kegagalan
Kau jadikan ku insan
Sehingga terhasil benih kejayaan
Doa dan restu kau iringkan





Ibu
Detik 9 hari sembilan bulan 
Mengalir tangis air mata kegembiraan
Berdepan sakit perit kesakitan
Melahirkan aku ke dunia dengan izin Tuhan
Ibu
Selagi jasad dan nyawa dikandung badan
Pengorbananmu tidak akan kupersiakan
Dunia akhirat doa buatmu selamanya ku tadahkan….





Thursday 8 March 2012

Variasi pengertian 1 Malaysia





Pelbagai persepsi dilontarkan diutarakan mengenai konsep 1 Malaysia yang diungkapkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak. 1 Malaysia diungkap bertepatan visi kerajaan yang memacak matlamat berpaksikan keutamaan kepada rakyat dan juga  pemacuan pencapaian negara iaitu “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Sebagai metaforanya, Malaysia merupakan matahari yang menyinari sebuah rumah manakala 1 Malaysia merupakan bumbung tempat berteduh, tiang asasnya pula pelbagai rancangan dan strategi kerajaan dalam memacu pembangunan dan paling penting lantai asasnya sebagai asas kekukuhan iaitu rakyat Malaysia yang bersatu padu membina jati diri masing-masing di bawah naungan negara Malaysia. 



1 Malaysia merupakan suatu mekanisme terbaik dalam memacu negara dalam mencapai matlamat wawasan 2020 suatu pandangan jauh yang diharap dapat direalisasikan.  1 Malaysia memfokuskan kepada keharmonian rakyat berbilang kaum dikekalkan perpaduannya dalam kemajmukan,kepelbagaian agar menjadi tunjang kekuatan malasyia sebagai 1 teras kukuh dalam menghadapi cabaran mendatang.  Lihat sahaja nilai yang diterapkan dalam konsep 1 Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai-nilai murni ini jika setipa rakyat mengembleng semangat 1 malaysia mampu memacu ke arah pembangunan negara yang mapan. Apabila setiap prinsip nilai ini diamalkan sekaligus mampu mebudayakan rakyat menjadi positif dalam mendepani cabaran globalisasi.










Konsep ini juga bukan sekadar omongan kosong kerajaan dalam mengambil sikap prihatin terhadap rakyat.  Ianya diterima dengan positif oleh hamper setiap rakyat di negara ini.  Keberkesanannya tidak dapat dinafikan apabila terdapatnya inisiatid kerajaan seperti produk 1 Malaysia yang dapat membantu mengurangkan beban rakyat kerana produk 1 Malaysia ini berkualiti dan dijual 30 hingga 40 peratus rendah harganya. Selain itu, melalui program ‘sara 1 Malaysia’pula menjadikan golongan berpendapatan rendah untuk menabung dan melabur.  Baucer buku 1 Malaysia membantu pelajar di setiap institusi pengajian tinggi bagi manfaat pembelajaran. 




Kesimpulannya, kini, 1 Malaysia dilihat semakin diterima, gah di persada  hati setiap rakyat.  Pengertiannya diharap menjadi senada dan koherens apabila diacu pertanyaan mengenainya.  Hal ini bagi menghindarkan rakyat Malaysia ditempatkan di kelas kedua yang rendah mentalitinya.  Konsep 1 Malaysia diharap mampu memupuk semangat kekitaan seterusnya menjadikan Malaysia gah dipersada dunia. 


Thursday 1 March 2012

Gelagat insan suatu hari

   Teringat lagi satu peristiwa pada petang yang damai,aku diajak teman bersiar-siar ke daerah kecil kelahiranku. Kami duduk di satu gerai yang menyediakan juadah kegemaranku, Sate. Aku perhatikan gelagat setiap susuk tubuh yang masing-masing sibuk di gerai itu. Daripada menarik pelanggan untuk duduk di gerai mereka sehinggalah mengelap titisan keringat di dahi. Penat barangkali,monolog aku sendiri.



       Namun apa yang sangat menarik perhatian aku dan mungkin juga beberapa manusia lain di sekeliling aku pada waktu itu ialah seorang lelaki sujud di pesisir pantai. pada mulanya gelagat itu tidak menarik perhatian, tetapi setelah aku perhatikan setiap pergerakannya, rupa-rupanya dia seakan-akan solat! Aku terfikir bagaimana jika ombak datang ketika lelaki itu sedang sujud? pasti tubuhnya basah terkena air laut, dan tidak lama selepas aku membayangkan, benar, ketika sujud ia ombak datang. Lelaki itu basah. Terdengar suara-suara di gerai sebelah mengatakan lelaki itu kurang siuman. Kurang siuman? tetapi setiap gerak-geri pergerakannya menunjukkan dia sedang solat. Aku juga tertanya-tanya,memang benar solat, tetapi mengapa harus di pesisir pantai?






    Aku lihat dia menadah tangan,pasti berdoa bisik hatiku. Kemudian meraup muka. Terbit rasa kagum, simpati dan sedikit musykil terhadap lelaki itu. Aku dengar bunyi ketawa terbahak-bahak sekumpulan lelaki yang juga pelanggan gerai makan di sebelah kami. Sambil mata mereka masing-masing tertumpu ke arah lelaki itu. "Memang dasar orang gila,orang sembahyang di darat dia sembahyang di laut, memang gila!" Begitulah respon kumpulan lelaki yang aku lihat berpakaian selekeh. Spontan aku menggeleng,monolog hatiku, "sekurang-kurangnya dia solat". Siapa kita untuk menghukum, tiada siapa tahu mungkin amalannya tadi mungkin diterima tuhan.  






     
Aku lihat gelagat manusia di sekelilingku untuk hari itu,terlalu mudah bersangka buruk,menilai terlalu cepat bermula dengan pendengaran dikuatkan lagi dengan  pandangan. Pernah juga aku terbaca satu artikel dalam majalah Solusi, "Peoples are tend to believe what they heard than what they see". Benarlah,tidak dapat disangkal lagi,ungkapan itu sesuai dengan situasi yang pernah aku lalui pada hari itu. Tetapi,mungkin apa yang dilihat dan didengar itu belum tentu jawapan kepada segala persolan. Mungkin juga lelaki tersebut tidak gila.  

    Babak hari itu aku lihat dengan berlalunya lelaki itu dengan membawa sebuah guni yang sarat dengan tin. Sekurang-kurangnya lelaki itu tahu berusaha mencari rezeki. Paling penting, kehadirannya sedikit pun tidak menganggu,tetapi cuma menimbulkan suara-suara sumbang mencemuh daripada segelintir manusia yang terlalu cepat menilai tanpa menyelidiki dahulu.  
Bobblehead Bunny Bobblehead Bunny