Baby Hello Kitty

Tuesday 20 March 2012

Indahnya memaknakan Ukhwah Persahabatan




            Sehingga hari ini, apabila ditanyakan mengenai makna persahabatan terlalu banyak jawapan sehingga kadang kala membuatkan kita telah lali mendengar jawapan itu tetapi sebenarnya nilai kepelbagaian jawapan inilah yang menerbitkan rasa indahnya sebuah persahabatan.  Kadang kala melalui pengalaman, pengetahuan pun sudah cukup dalam menilai makna sesebuah persahabatan itu.  Hubungan sosial yang melibatkan satu pihak dan pihakyang lain mahupun ramai.  Di dalam Islam sendiri amat menekankan konsep kasih saying sebagai asas tarbiah yang mewujudkan tautan ukhwah.  Kemanisan ukhwah dikecapi apabila bertemu dan berpisah kerana Allah. 


Persahabatan dalam konteks kehidupan  kini adalah sesuatu yang mudah diungkapkan namun sebenarnya sesuatu yang abstrak.  Tidak semestinya melalui analogi tersendiri, dinilai melalui perselisihan faham, ungkapan klise, suatu tindakan yang salah,pergaulan dan lain-lain dapat menganggap persahabatn itu sejati atau tidak.  Melalui pergaulan, sememangnya fitrah manusia dalam niat menjalinkan ukhwah bermula daripada hati yang terbit rasa ingin bertaut.  Seharusnya setiap individu meletakkan niat yang lurus dalam menjalin persahabatan iaitu menuju redha Illahi di samping berpegang kepada prinsip ‘simbiosis mutual’ (saling bergantung).  Rasulullah SAW mengumpamakan persahabatan seperti dua tangan yang bertaut,saling bersatu dalam mencapai matlamat dan tujuan.  Contoh terbaik dalam menyingkap kisah kaum Muhajirin dan Ansar yang saling berkongsi, membantu tanpa mengharapkan balasan duniawi semata-mata tetapi dilandasi dengan keikhlasan dalam menjalin ukhwah persahabatan. 




INDAHNYA UKHWAH BILA BERTEMU & BERPISAH KERANA ALLAH
Sebenarnya,reaksi,ucapan,tindakan amarah seharusnya tidak wujud dalam sebuah persahabatan.  Harga persahabatan tiada tergambar nilainya.  Terlalu Mahal.  Terlalu indah.  Nasihat menasihati  dalam persahabatan digalakkan dalam Islam.  Menegur bukan niat untuk menghukum, tetapi menarik semula daripada tergelincir daripada landasan kerana kasihnya seorang sahabat.   Sahabat yang baik itu cuba memimpin ke jalan yang terang andai mata yang mengekori itu kabur.   Teguran tidak perlu nyaring,  cukup didengar melalui telinga, dinilai melalui logic akal, meresap ke dalam hati.  Teringat satu ayat dalam buku bertajuk ‘Beduk Diketuk’ “ Orang yang bijaksana akan lebih terkesan oleh bisikan berbanding jeritan”.  Pelengkap kepada sebuah persahabatn yang bermakna andai terbuka dengan teguran, tidak terkesan dengan kejian. 

Rangkaian kisah dalam sebuah persahabatan  antara suka, duka, tangis, ketawa, sakit dan pujukan mampu menjadikan kita lebih baik daripada sebelumnya.  Lumrahnya persahabatan diselangi perselisihan.  Persahabatan mengambil masa untuk terjalin, apatah lagi berkekalan, namun andai bertahan ketika diuji, bertahan dan mampu untuk bertambah kukuh. 
Indahnya ukhwah persahabatan bila bertemu dan berpisah keran Allah.  Analoginya seperti Tasbih, ada awal, tiada penghujung,dicipta untuk mengingati-Nya. Menjalin persahabatan janganlah melalui zahir menilai apa yang dilihat tetapi fikirlah bagaimana kita melihat.  Sahabat, walaupun jauh, tetapi mekar mewangi.  Titipan doa mampu menjadi hadiah termahal dalam memaknakan sebuah persahabatan.  Pesan saidina Ali dalam persahabatan, selemah-lemah manusia adalah manusia yang tidak dapat mencari sahabat, dan orang yang lebih lemah ialah apabila mensia-siakan sahabat yang telah dicari.   Orang yang paling teguh hubunganya dengan Allah, dialah yang paling teguh hubungannya dengan manusia.  “Hablumminallah wa Hablumminannas”.  

No comments:

Post a Comment

Bobblehead Bunny Bobblehead Bunny